Tuesday, 9 February 2021

UJANG MORMIN VETERAN PERANG DUNIA KEDUA

Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tertua Perang Dunia Kedua, Prebet Ujang Mormin, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, pada pukul 5.05 minit petang 09 Feb 2021. Ujang yang dilahirkan pada 14 Jun 1921 meninggal dunia dalam usia 99 tahun lapan bulan.

Beliau yang ditempatkan di di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan sejak beberapa tahun lalu disebabkan masalah kesihatan dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada 26 Januari lalu apabila dikesan dikesan positif Covid-19 selepas seorang pesakit lain di Unit Rawatan Rapi (ICU) di HAT Tuanku Mizan dijangkiti virus sama.

Ketika berusia 92 tahun veteran perang itu masih boleh memandu kereta, namun ketika berusia 94 tahun patah tulang pinggul akibat terjatuh di bilik air hingga terpaksa bergerak dengan kerusi roda.

Beliau berasal dari Rembau, Negeri Sembilan pernah berjuang dalam batalion sama bersama dengan Leftenan Adnan Saidi menentang serangan Jepun ke atas Singapura.

Ujang adalah antara anak Melayu terawal diserap ke Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1942.

Ujang memulakan karier ketenteraan dalam perkhidmatan Tentera British pada 1939 dan kemudian 1942 diserap ke Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sebagai prebet.

Berjuang mengekang kemaraan serangan ketumbukan askar Jepun di Singapura ketika tentera negara matahari terbit itu agresif menawan sebahagian besar rantau Asia-Pasifik ketika Perang Dunia Kedua adalah pengalaman paling berharga buat Ujang Mormin.

Tambahan pula, pada ketika itu, dia baru empat bulan selepas menyertai latihan tentera di Port Dickson pada 1941 sebelum dihantar ke Gap Ridge, Singapura sebaik Jepun menyerang Tanah Melayu.

Kubu itu adalah benteng pertahanan terakhir pasukan pertahanan British di bawah Leftenan Jeneral Arthur Percival dan pasukan penyerang Jepun (Tentera Darat Ke-25) yang diperintah Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita di pulau Singapura.

Kubu yang jaga anggota 1 RAMD adalah kubu terakhir di Singapura. Ujang  berjuang bersama Leftenan Adnan Saidi yang berkubu di Bukit Candu, Pasir Panjang dan pada masa sama, Ujang bersama kompeni yang ditempatkan di Bukit Chermin.

Ujang bersama anggota dalam kompeninya berjuang selama berhari-hari menghalang kemaraan Jepun sehingga putus bekalan makanan sebelum terpaksa berundur ke dalam hutan di Singapura sebaik mendapat berita Leftenan Adnan gugur dalam pertempuran pada 14 Februari 1942.

Selama lebih seminggu berundur dan mempertahankan diri, Ujang dan rakan seperjuangan tiada masa untuk memikirkan makan, apatah lagi keluarga.

Apabila serangan Jepun berhenti seketika, waktu itulah, mereka mencari apa saja makanan yang ada dan paling banyak dimakan adalah ubi mentah yang dijumpai dalam hutan.

Dalam pertempuran, beberapa rakan lain tumbang terkena tembakan, tetapi tiada apa yang terdaya dibuat selain melihat saja jasad mereka rebah.

Malah, Ujang sendiri cedera di jari akibat letupan dan serpihan meriam musuh. Paling menyedihkan terpaksa menggali kubur rakan yang terkorban.

Pada hari malam Singapura jatuh kepada Jepun, ketua kompeninya memberitahu bahawa ada dua pilihan iaitu menyerah diri sebagai tawanan perang atau buka seragam tentera menyeludup keluar dan balik kampung.

Ujang mengambil pilihan kedua dengan menyeludup keluar dari Singapura menggunakan kereta api kemudian pulang di kampungnya di Rembau, Negeri Sembilan.

Perjuangan Ujang bersama Leftenan Adnan Saidi menentang tentera Jepun di Singapura diperakui kerajaan British yang mengurniakan pingat War Medal dan Pacific Star bagi perkhidmatan dari 1939 hingga 1945 selain dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia.

Ujang pernah dua kali berkahwin dan ada empat cahaya mata. Kedua-dua isterinya dan tiga anak sudah meninggal dunia manakala seorang lagi gagal dikesan dipercayai juga sudah meninggal dunia.

Sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya, jenazah beliau disemadikan di Pusara RAMD Port Dickson, Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment