Monday, 15 February 2021

MENGAPA NAMA ARTIS DITULIS DI BATANG BALAK

 
Di kalangan anggota tentera tentu arif sangat fungsi dan kegunaan batang balak atau dipanggil batang ‘log’ (tidak pasti ejaan sebenar) seperti gambar. Menariknya di batang balak itu ada tertulis nama artis terkenal; Hana Delisha, Neelofa, Mira Filzah, Tasya Syila dan Shery Al Hadad.

Tentu banyak orang bukan di kalangan tentera atau bekas tentera tertanya-tanya mengapa nama-nama artis diabadikan pada batang balak tersebut.

Sebenarnya, batang balak berukuran sebesar batang pokok pinang dengan panjang sekitar dua meter banyak tersedia di kem-kem tentera. Ada yang ditempatkan di hadapan balai pengawal atau pintu masuk kem.

Batang balak digunakan sebagai beban kepada anggota yang didenda melakukan kesalahan. Mereka akan pikul keliling kem atau kawasan laluan yang ditetapkan.

Kalau yang memikul itu berpakaian seluar pendek dan baju ‘T’, biasanya pesalah yang dikenakan hukuman tahanan di balai pengawal. Ia dikira macam penjara untuk anggota tentera.

Batang balak itu ada macam-macam gelaran. Itu dikira ‘pujuk hati’ agar reda apa yang dihadapi dan juga satu perli agar dapat melakukan dengan ceria dan jenak dalam serius.

Kalau dahulu, batang balak itu dipanggil dengan nama Uji Rashid, Nor Kumalasari, Noreen Nor, Gaya Zakry dan nama-nama artis popular yang cantik.

Jadi, mereka yang memikul dan memeluk batang balak itu dianggap memeluk Uji Rashid dan artis cantik lain mengikut nama yang diberikan.

Melihat mereka kena denda memang menyedihkan. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Ada juga batang balak itu dipanggil atau dituliskan ‘abang buat abang tanggung’ agar memberi keinsafan bahawa apa yang terpaksa dilakukan atau dihadapi itu adalah akibat kesalahan yang dilakukan sendiri.

Disiplin anggota tentera memang ketat. Mana-mana anggota yang melanggar peraturan yang ditetapkan akan dibicarakan oleh pegawai atasan. Antara denda yang boleh dikenakan ialah tahanan di balai pengawal. Tempoh maksimal hukuman ialah tiga bulan, tetapi dilaksanakan selama dua bulan.

Sepanjang tempoh tersebut, anggota akan ditempat di bilik tahanan di balai pengawal. Keadaan tidak ubah seperti penjara.

Anggota ditahan bukan sahaja di tempatkan di bilik tahanan dan ‘relek’ di situ. Sebaliknya anggota berkenaan juga akan dikenakan denda melakukan aktiviti berat seperti membawa kayu balak, kawat kaki dan aktiviti lain yang dianggap sebagai sebahagian denda yang perlu dilakukan sepanjang tempoh tahanan.

Sepanjang tempoh tersebut gaji anggota juga ditahan atau dipotong.

Oleh sebab itu, setiap anggota tentera akan sedaya mungkin mengelak diri daripada melakukan sebarang bentuk kesalahan atau perbuatan yang disenarikan sebagai satu kesalahan yang membolehkan mereka dihadapkan ke hadapan pegawai atasan untuk dibicarakan.

Dalam kes yang lebih berat atau anggota tidak mahu dibicarakan di hadapan pegawai atasan, Mahkamah Tentera akan ditubuhkan untuk membicarakan anggota berkenaan. 

Di Mahkamah Tentera proses perbicaraan dijalankan seperti di mahkamah awam yang melihatkan hakim, pendakwa dan peguam bela. Had hukuman di Mahkamah Tentera lebih berat, termasuk ditahan di penjara awam dan lain-lain sepertimana ditetapkan Akta Angkatan Tentera 1972.

No comments:

Post a Comment