Monday 4 November 2019

TIADA PERINTAH SAMBUT MAULIDUL RASUL

Sesungguhnya bagi setiap orang yang memerhatikan hadis Nabi SAW dan sirah baginda, maka ia akan mengetahui bahawa Nabi SAW sama sekali tidak pernah memerintahkan perayaan atau peringatan maulid (kelahiran) baginda.

Akan tetapi orang-orang yang berdusta atas nama Rasul telah meriwayatkan banyak hadis maudhu (palsu) yang tidak pernah dikenal atau dihafal oleh para muhaddisin,kemudian dijadikan mereka sebagai dasar perayaan atau sambutan maulid Nabi, seperti hadis (palsu), “Barangsiapa yang mengagungkan hari kelahiranku,maka wajib baginya (mendapat) syafaatku pada hari Kiamat”

Satu lagi hadis palsu, “Barangsiapa yang menginfaqkan satu dirham pada hari kelahiranku, seakan-akan ia menginfaqkan emas seberat gunung Uhud”.

Terlaknatlah mereka yang sengaja mendustakan Rasulullah dengan meriwayatkan hadis-hadis yang tidak pernah diucapkan oleh baginda.

Dosanya di sisi Allah SWT amat besar, sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah dalam hadis mutawatir yang masyhur, “Barangsiapa yang berdusta atasku secara sengaja, maka siapkanlah tempat duduknya di neraka”.

Rasulullah tidak pernah mengagungkan hari lahir baginda. Baginda juga tidak pernah mengkhususkannya upacara untuk meraihkan hari lahir baginda dengan apa-apa aktiviti taqarrub seperti solat, puasa, zikir, membaca al-Quran mahupun mengadakan perarakan.

Baginda juga tidak pernah memerintahkan kepada kaum Muslimin untuk menyambut hari kelahiran baginda.

Juga, baginda tidak pernah memerintahkan untuk untuk bersedekah, memberi makan atau menyembelih haiwan demi untuk meraihkan hari lahir baginda.

Maka termasuk suatu yang pasti bahawa Nabi SAW tidak pernah menyambut. hari kelahiran baginda.

Justeru, bagaimana pula sambutan Maulid Nabi yang diadakan pada masa sekarang?

Para ulama menjelaskan sambutan itu harus sebagai memperingati dan tanda kasih kepada baginda dengan melakukan sesuatu yang baik seperti ceramah dan sebagainya.

Sambutan itu juga tidak dikaitkan sebagai satu perintah seperti mana dinyatakan dalam hadis palsu. Hendaklah menyambut Maulid Nabi sebagai menzahirkan rasa cinta kepada baginda dan sebahagian syiar Islam.

No comments:

Post a Comment