Monday 28 October 2019

MENGANTUK TANDA MENGIDAP PENYAKIT

Umumnya kita mengantuk apabila fungsi badan dan otak penat dengan aktiviti seharian. Tindak balas semula jadi akan berlaku dan kelenjar tertentu mengeluarkan hormon dengan menghantar tindak balas ke otak.

Malah berkenaan peranan hormon, antaranya pengkaji menemui rasa mengantuk berpunca daripada kompaun kimia bernama edenosin yang wujud dalam otak bertindak balas dengan reseptor otak.

Selain itu, kitaran tidur dipengaruhi ‘jam tubuh’ yang juga dikenali sebagai ritma sirkadian iaitu proses fisiologi berlaku dalam tubuh membolehkan badan bertindak balas dengan persekitaran seperti waktu tidur, makan dan aktif.

Jam tubuh ini yang sensitif dengan perubahan persekitaran seperti cahaya matahari dan suhu, membantu dalam menentukan sama ada waktu untuk berjaga pada waktu siang atau tidur ketika malam.

Namun, jika berlaku rasa mengantuk pada siang hari tanpa 'alasan' munasabah dan berlaku hampir setiap hari, pesakit disarankan menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh.

Mengantuk luar biasa bukan semata-mata gangguan tidur seperti dihadapi kebanyakan pesakit kecelaruan tidur ritma sirkadian tetapi boleh menjadi petanda penyakit lebih serius.

Masalah mengantuk tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menjadi petanda bagi penyakit serius dihadapi individu berkenaan. Ini termasuklah komplikasi penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi pada usia muda.

Maka, sebaik-baiknya pesakit ini menjalani pemeriksaan menyeluruh bagi mengenal pasti punca mengantuk itu adakah disebabkan gangguan tidur atau tanda-tanda kepada masalah lebih serius.

Mengantuk yang biasa dihadapi pesakit diabetes, gejala itu lazim berlaku selepas makan. Apatah lagi makanan yang diambil pesakit kandungannya tinggi karbohidrat dan gula.

Ia bermula dengan rasa penat dan diikuti mengantuk disebabkan kapasiti tubuh pesakit diabetes tidak lagi dapat menghasilkan insulin bagi menukar gula ke sumber tenaga.

Faktor gangguan lain iaitu kesihatan mental dan emosi juga memungkinkan seseorang itu menghadapi masalah mengantuk luar biasa.

Ada kajian perubatan menerangkan mereka yang mengalami kemurungan dan emosi tidak stabil untuk satu tempoh yang panjang boleh menjejaskan kualiti tidur, seterusnya mencetuskan gejala mengantuk.

Bagi mengatasi masalah mengantuk keterlaluan, ada beberapa langkah awal boleh diambil seperti diet serta amal gaya hidup sihat.

Melihat pada punca penyakit terutama individu mempunyai masalah obesiti, sebaik atur gaya hidup mereka termasuk pengambilan makanan seimbang iaitu sayur dan buah-buahan yang dapat membekalkan vitamin dan zat mencukupi.

Usaha yang boleh dilakukan selain mendapatkan rawatan, pesakit seharusnya mengubah diet mereka termasuk mengelak makanan tinggi karbohidrat dan gula pada waktu malam.

Makanan tinggi karbohidrat memerlukan tempoh pencernaan yang lebih panjang untuk menukar karbohidrat dan gula ke tenaga. Situasi itu menyebabkan organ berkenaan perlu bekerja lebih lama pada waktu malam berbanding fungsi semula jadinya kerana ketika ini ia sepatutnya berada dalam mod rehat.

No comments:

Post a Comment