Thursday 17 October 2019

BAHAYA TIDUR DALAM KERETA


Kes kematian berlaku ketika tidur di dalam kereta kerap kali berlaku. Kenyataan itu tentu mengejukkan. Ramai berfikir tidur dalam kereta tidak berbahaya. Kalaupun ada kesan bahaya hanya sakit belakang atau tengkok sahaja.

Kes kematian tidur dalam kereta sebenarnya telah banyak kali berlaku. Negara pernah digegarkan dengan kematian lima beranak di dalam kereta ketika mereka tidur di dalamnya.

Kes kematian tidur di dalam kereta ini berbeza dengan kematian yang disebabkan lemas kurang oksigen dan kepanasan. Sebaliknya, kes ini ialah kerana 'selesa' tidur dalam keadaan berhawa dingin dengan keadaan enjin yang tidak dimatikan.

Kejadian yang membawa kepada kematian berlaku sekiranya terdapat masalah pada ciri mekanikal kereta, kemungkinan berlaku kebocoran ekzos kereta ke dalam kabin kenderaan.

Ini kerana, pengumpulan karbon monoksida (CO) yang disebabkan oleh kebocoran daripada ekzos akan menurunkan paras oksigen di dalam kenderaan.

Peningkatan tahap karbon monoksida di dalam kereta memberi kesan kepada oksigen dalam darah. Ini mengakibatkan darah membawa lebih banyak karbon monoksida dan boleh menyebabkan kematian secara tiba-tiba (sudden death).

Walaupun dengan tingkap dibuka, karbon monoksida tetap boleh terkumpul dan akan menyebabkan penurunan oksigen dalam darah. Kesannya, mangsa akan kehilangan cecair dan air dalam badan selepas satu jangka masa. Keadaan itu akan menyebabkan fungsi organ terhenti dan seterusnya menyebabkan kematian.

Maka timbul persoalan, kenapa kita boleh bertahan memandu dengan penghawa dingin terpasang? Jawapannya mudah. Kerana kita sedar dengan perubahan suhu dan akan sedar jika terdapat kebocoran. Jika kita mula merasa tidak selesa, kita akan segera bertindak dengan menutup penghawa dingin dan membuka tingkap.

Bahkan, jika dirasakan tidak selesa berterusan dan keadaan letih, kita akan berhenti daripada memandu dan akan keluar dari kereta. Maka, sebab itu tahap  kesan kekurangan oksigen tidak berterusan.

Untuk mengekak kejadian lemas dan mati dalam kenderaan, elakkan tidur di dalam kereta. Jika perlu berehat semasa memandu jauh dan perlu tidur dalam kereta, matikan enjin dan biarkan cermin terbuka. Lebih baik jika cari tempat lain yang lebih sesuai untuk dijadikan tempat rehat atau tidur.

No comments:

Post a Comment