Monday, 20 November 2017

TUKAR ARAH KIBLAT


Peristiwa penting dan bersejarah yang berlaku kepada jujungan besar Nabi Muhammad SAW serta umat Islam pada Syaaban ialah peristiwa perubahan arah kiblat dari Masjid Aqsa di Baitulmaqdis ke Masjidil Haram (Kaabah)  di Makkah al-Mukaramah.

Kisah perubahan kiblat berlaku pada tahun kedua Hijrah. Rasulullah SAW menunaikan solat menghadap ke Baitulmaqdis selama kira-kira 17 bulan, tetapi Baginda  ingin menghadap ke arah Kaabah sebagai kiblatnya.

Selepas diperintahkan Allah SWT untuk berpaling ke Kaabah, solat pertama dilakukan Baginda  ialah solat Asar yang diikuti beberapa orang sahabat. Sesudah itu, seorang sahabat keluar dari masjid dan melihat dalam masjid lain jemaah sedang rukuk dan masih menghadap ke arah Baitulmaqdis.

Maka dia berseru: "Demi Allah! Aku bersaksi bahawa aku bersolat bersama Nabi Muhamad  menghadap ke Kaabah di Makkah. Kemudian orang yang bersolat itu terus berpusing menghadap ke Kaabah dalam solat itu juga." (Hadis riwayat Bukhari)

Ibnu Saad dalam kitab al-Tabaqat ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sedang melawat Ummu Bisyr bin al-Barra’ bin Mabrur di kawasan Bani Salamah. Beliau menyediakan jamuan untuk Rasulullah SAW dan sahabatnya.

Apabila tiba waktu Zuhur, Baginda bersolat di masjid perkampungan itu. Ketika Baginda  berada dalam rakaat yang kedua solatnya, turun wahyu daripada Allah SWT memerintahkannya supaya menukar arah dari Masjidil Aqsa ke arah Kaabah di Masjidil Haram.

Baginda terus berpaling menghadap ke arah Kaabah ke sudut bertentangan dengan mizab (saluran emas) dengan pusingan 180 darjah dan terus menyambung baki solatnya.  Masjid itu dinamakan Masjid Qiblatain yang masih ada di Madinah sebagai salah satu tempat lawatan jemaah yang mengerjakan umrah mahu pun haji di sana.

Imam Bukhari juga ada meriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar ketika orang bersolat Subuh di masjid Quba’, tiba-tiba datang berita mengatakan Rasulullah diarahkan supaya menghadap ke Kaabah, maka mereka pun berpaling ke arah itu.

Mengenai perbezaan riwayat berkenaan perubahan kiblat, al-Hafiz Ibnu Hajar ada menjelaskan bahawa solat pertama menghadap Kaabah ialah solat di Bani Salamah di masjid Qiblatain iaitu solat Zuhur.  Solat pertama menghadap kiblat di Masjid Nabawi pula ialah solat Asar.  Solat Subuh pula ialah di Masjid Quba.

Selepas berlaku perubahan kiblat, orang munafik dan kaum Yahudi meragui kejadian itu lalu bertanya: “Apakah yang menyebabkan mereka berpaling dari kiblat yang mereka hadapi selama ini?”

Sebagai jawapan kepada pertanyaan yang sengaja dilontarkan oleh kaum Yahudi sebagai bahan ejekan dan sindiran serta untuk mengelirukan kaum Muslimin, Allah SWT berfirman: Orang-orang yang bodoh akan berkata: Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya?” Katakanlah: “Kepunyaan Allah timur dan barat, Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” (Surah al-Baqarah, ayat 142)

No comments:

Post a Comment