Tuesday, 2 May 2023

DENGARLAH AGAR KAMU BEROLEH RAHMAT

 
Ketika berkomunikasi, satu kemahiran yang diperlukan ialah mendengar. Mendengar adalah salah satu cara mencari kebenaran. Apabila kita mencari kebenaran, kita membuka minda kita kepada  fakta dan hujahan bagi membolehkan kita memilih pandangan mana yang kuat asasnya.

Namun, jika kita mendengar al-Quran, tiada keraguan lagi mengenai kebenarannya. Kita perlu menerimanya. Pun begitu, tahap kefahaman kita tentu tidak sama. Sebab itu, apabila al Quran dibacakan, kita wajib memberi perhatian untuk mendengar tanpa menyibukkan diri dengan urusan lain. Cara sebegini diharap menjadi sebab kita diberi rahmat.
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Araf, ayat 204)
 
Rasulullah SAW pernah meminta Abdullah bin Masud membacakan beberapa ayat Quran untuk baginda mendengarnya. Ini kerana baginda suka mendengar bacaan al-Quran dari bacaan orang lain.
 
Adalah tidak sesuai jika bacaan al Quran dipasang dalam sebuah kedai makan sedangkan pelanggan-pelanggan di dalamnya sedang berbual-bual sesama mereka sambil menikmati hidangan makanan.
 
Al Quran adalah kalam Allah. Sepatutnya kita menjaga adab dengan cara menumpukan perhatian ketika mendengar bacaan al Quran dan berdiam diri. Jin pun tahu jaga adab ini.
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): "Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!" Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.” (Surah al-Ahqaf, ayat 29)
 
Ketika Nabi Musa sampai di Lembah Suci Tuwa ketika dalam perjalanan dari Madyan ke Mesir, baginda mendapat wahyu dari Allah yang bermaksud: "Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu.” (Surah Taha, ayat 13)
 
Justeru pentingnya konsep kemahiran mendengar ini, kata Imam Sufiyan bin Uyainah: “Permulaan ilmu dengan cara mendengar sebaiknya, kemudian faham, kemudian hafal, Kemudian amal, kemudian sebarkan.”
 
Apabila seorang hamba mendengar kepada bacaan al Quran dan sunah Nabi dengan niat yang benar atas apa yang Allah sukai, nescaya dijadikan dia memahaminya. Dijadikan ia cahaya dalam hatinya.

No comments:

Post a Comment