Saturday, 13 May 2023

BARANG TIRUAN ROMPAK HAK CIPTA

 
Satu fenomena perlu diberi perhatian, berkaitan produk tiruan dalam pasaran di negara kita. Barang tiruan tidak menepati piawaian kualiti barang tulen. Barang tiruan dijual dengan harga lebih murah untuk menarik pembeli. 
 
Tetapi persoalan sebenar mengenai barang tiruan bukan kualitinya. Pengguna tidak ditipu kerana mereka sudah mengenali barang tiruan. Penjual juga tidak berniat untuk menipu kerana awal-awal lagi sudah meletakkan harganya terlalu murah berbanding barang tulen. 
 
Tetapi persoalan sebenar mengenai barang tiruan ialah hak cipta. Barang itu dihasilkan secara menyalahi peraturan dan undang-undang. Pengeluar barang tiruan tidak mendapat hak kebenaran untuk mengeluarkan barang itu daripada pengeluar atau pencipta asal. 
 
Walaupun penerbit barang tiruan ini tidak menipu pengguna, tetapi dia tidak jujur kepada pencipta asal. Selain bersalah kerana mengeluarkan semula barangan itu tanpa izin, dia telah menyebabkan pengguna tidak mahu membeli barangan asli. 
 
Secara konsepnya, barang tiruan adalah barang diperoleh secara ‘rompakan’. Istilah ini biasanya digunakan untuk kes menyalin buku, kaset, VCD dan software. Individu atau pihak melakukan cetak rompak mencari keuntungan dengan cara mudah hasil usaha individu lain.
 
Cetak rompak berlaku berleluasa disebabkan mendapat ‘sokongan’ daripada pembeli. Ramai rakyat kita masih memilih bahan cetak rompak, disebabkan harga yang jauh lebih murah. Sikap pembeli biarpun mendapat keuntungan (harga murah), hakikatnya telah menggalakkan amalan tidak baik dalam perniagaan. 
 
Dalam hal ini, pengguna turut bersalah, memberi keuntungan kepada pihak yang tidak sepatutnya. Individu Muslim sepatutnya prihatin memberi barang tulen dan memberi keuntungan kepada yang berhak. Islam menegah memberikan hak kepada pihak yang tidak berhak menerimanya.    
 
Pembeli tidak sepatutnya menyokong aktiviti menyalahi undang-undang negara. Lanun cetak rompak dikenalpasti sebagai dalang yang turut melakukan perbuatan lain yang menyalahi undang-undang. Kepentingan dan keselamatan negara terancam dengan tindakan yang dilakukan kumpulan ini.
 
Dalam kontrak jualan serahan masa hadapan yang mana barang yang disediakan masih tidak wujud ketika akad atau persetujuan jual beli, masa serahan perlu ditepati. Selain itu kualiti dan kuantiti yang termaktub dalam akad jual beli juga perlu dilakukan sepenuhnya oleh penjual.
 
Kegagalan pemaju perumahan menyerahkan rumah kepada pembeli satu contoh masalah kontrek jualan serahan masa hadapan. Pembeli menanggung kerugian tidak dapat menduduki rumah yang dibeli, sedangkan bayaran ansuran terpaksa dijelaskan kepada institusi kewangan.
 
Selain kegagalan penyerahan, banyak kes pemaju gagal menyediakan rumah seperti mana ditetapkan dalam kontrek. Rumah yang diserahkan tidak berkualiti. Paling menyedihkan keadaan itu boleh mendatangkan bahaya kepada penghuninya.
 
Pemaju yang gagal menyiapkan projek wajib memulangkan kembali wang kepada pembeli. Atau jika rumah yang diserahkan mengalami kecacatan, mesti dibaiki dalam tempoh perjanjian. Ramai pembeli rumah yang menanggung masalah kewangan akibat kegagalan pemaju menyerahkan rumah seperti yang dijanjikan baik masa, kualiti mahupun kuantiti.
 
Kejujuran hubungan antara peniaga dengan pembeli merupakan punca keberkatan urusan yang dijalankan. Dengan itu urus niaga akan berlangsung dengan perasaan saling menghormati, adil, harmoni, dan selesa. Yang pasti, peniaga dan pembeli berhak mendapat hak masing-masing.
 
Jiwa peniaga yang jujur sentiasa tenteram, gembira dan merasa puas hati dapat menjalankan perniagaan. Dia bukan sahaja mendapat keuntungan, tetapi turut menikmati kepuasan dapat membantu pembeli.
 
Menjalankan perniagaan yang menepati kehendak agama merupakan sebahagian daripada ibadat.  
 
Firman Allah bermaksud: “Katakanlah: Sesungguhnya, sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku, semuanya bagi Allah, Tuhan semesta alam.” (Surah al-Anaam, ayat 162).
 
Dalam hal ini, pengguna disarankan agar mengambil sikap lebih ‘cerewet’ memilih barang dan perkhidmatan. Sikap ini dapat mengelak ditipu peniaga tidak bertanggungjawab. 
 
Sikap pengguna yang secara kolektif tegas dan cerewet dapat membantu melahirkan pengeluar dan penjual yang lebih bertanggungjawab. Ingatlah, peniaga yang jujur dibangkitkan di akhirat dengan wajah berseri-seri. 
 

No comments:

Post a Comment