Institut Pendidikan atau IP Bawah Tangga Stadium,
Kota Bharu satu nama sinonim dengan penduduk Kota Bharu sekitar tahun 1980-an.
Tidak pasti bila ia mula beroperasi, tetapi salah seorang guru ambo ketika
tingkatan satu di Sekolah Menengah Putera (sekarang Sekolah Menengah Kebangsaan
Putera) adalah bekas pelajar IP sebelum berjaya melanjutkan pelajaran ke
universiti.
Kalau mengikut kepada fakta itu, IP telah beroperasi sebelum atau
pada 1975 lagi (diharapkan ada pembaca yang tahu bila ia mula beroperasi).
IP adalah institut pendidikan swasta yang
menyediakan pengajian peringkat SRP (Sijil Rendah Pelajaran), SPM (Sijil
Pelajaran Malaysia) dan STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia) kepada pelajar
yang tidak berpeluang belajar di sekolah kerajaan.
Pada ketika dahulu, pelajar yang gagal
mendapat keputusan lulus SRP atau sebelum ini dikenali LCE (Lower Certificate
Education) tidak akan berpeluang untuk meneruskan pelajaran ke tingkatan empat
di sekolah kerajaan.
Pelajar yang ingin meneruskan pelajaran perlu memastikan
lulus SRP dahulu. Tempat pilihan adalah di sekolah swasta.
Begitu juga pelajar yang gagal di SPM (MCE)
dan STPM (HSC atau STP) perlu belajar di sekolah swasta jika ingin meneruskan
pelajaran. Ada juga pelajar yang mengambil peperiksaan sebagai calon
persendirian.
Sekolah swasta pada ketika itu amat berjasa
kepada pelajar, terutama mereka yang gagal meneruskan pengajian ke universiti
dengan menggunakan STPM.
Mereka akan mengulang atau belajar semula di sekolah
swasta untuk menduduki semula STPM. Atas semangat dan kesungguhan, banyak di antara
mereka kemudiannya berjaya memasuki universiti.
Itulah antara catatan sejarah yang dicipta
oleh Institut Pendidikan ketika berada di mercu kejayaan melahirkan pelajar
yang berjaya ke universiti.
Institut Pendidikan dikenali IP Bawah
Stadium kerana kelasnya ditempatkan di bahagian bawah tangga Stadium Sultan
Muhammad Keempat. Bahagian yang dijadikan kelas ialah yang mengadap bangunan
Hospital Raja Perempuan Zainab 2 yang sebelum itu dikenali Hospital Besar Kota Bharu.
Tempat yang pernah dijadikan kelas itu kini
dijadikan lot-lot kedai, pejabat dan restoran.
Kegemilangan Institut Pendidikan mula ‘tercalar’
pada awal 1990 apabila kerajaan memperkenalkan sistem pendidikan sehingga
tingkatan 5. Jadi, kelas untuk tahap PMR (sebelumnya LCE dan SRP) tidak lagi mendapat
sambutan.
Manakala tahap SPM dan STPM juga kurang mendapat sambutan apabila
banyak yang berjaya ke menyambung pelajaran di peringkat sijil kemahiran, sijil,
diploma dan ijazah yang semakin banyak ditawarkan untuk pelajar.
Pun begitu, Institut Pendidikan tidak terus
menutup operasi. Untuk sementara, ia beroperasi sekejap di bangunan Pasar Lama
MPKB (kini telah dirobohkan) sebelum berpindah di bangunan berhampiran dengan
Padang Merdeka.
Apabila berlaku konflik pengurusan menyebabkan ia berpecah dua.
Satu kekal beroperasi di banguan berhampiran Padang Merdeka dengan nama
Institut Padang Merdeka, dan satu lagi menggunakan nama Institut Pendidikan
Kota Bharu beroperasi di bangunan terletak di Jalan Kebun Sultan.
Ada pihak kini sedang beusaha untuk
mengumpulkan kembali bekas pelajar Institut Pendidikan untuk bersama menubuhkan
Alumni IP
Gambar – Bahagian bawah tangga sebelah
kanan pernah menempatkan Institut Pendidikan.
No comments:
Post a Comment