Wednesday, 20 April 2022

ELAK BERADA SITUASI DATANGKAN MARAH

 
Untuk mengelak timbul perasaan marah elaklah diri terlibat dengan keadaan boleh menimbulkannya. Jika diketahui diri tidak dapat menahan kemarahan apabila sesuatu berlaku, awal-awal lagi tidak melibatkan diri dalam keadaan itu. Amalan tersebut lama kelamaan akan membentuk kekuatan diri menahan marah jikapun berdepan dengannya.

Mengelak perasaan marah merebak dapat dilakukan jika segera meninggalkan keadaan itu. Sekiranya terasa marah kepada seseorang, lakukan seketika dan kemudian terus beredar daripadanya. Cara demikian umpama memberi teguran yang dapat mendatangkan kebaikan. Orang yang dimarah itu dapat memikirkan kesalahan yang telah dilakukan.

Perasaan marah juga dapat dikawal dengan tidak bertindak balas dengan keadaan. Sikap berdiam diri dan menerima apa yang berlaku dapat mengawal perasan marah. Suasana ini terutama melibatkan dua pihak yang sama-sama marah.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila seseorang di antara kamu merasa marah, hendaklah dia diam (daripada bercakap dan bertindak).” (Hadis riwayat Ahmad).

Mungkin orang menganggap perbuatan seumpama itu dayus atau penakut. Allah mengetahui apa yang tersimpan di dalam hati. Niat yang baik dipermudahkan kejayaannya. Mengelak sesuatu kecelakaan dan keburukan di dunia akan menghindarkan satu-satu azab di akhirat.

Apa perlu difikirkan kata orang. Janji dan pengiktirafan daripada Rasulullah itu lebih tepat. Rasulullah telah meletakkan taraf orang yang berjaya menahan perasaan marah sebagai paling berani dan kuat.

Perasaan marah berterusan tidak menguntungkan. Membalas dendam dan membuat sesuatu mendatangkan kemarahan pihak lain akan menambah kekusutan dan permasalahan. Menang jadi arang, kalah jadi abu. Jalan yang mudah ialah kembali kepada kehendak Allah.

Firman Allah bermaksud: “Bersegeralah memohon keampunan kepada Tuhan kamu dan (memohon) syurga yang luas meliputi langit dan bumi yang disediakan bagi orang bertakwa, iaitu mereka yang membelanjakan hartanya dalam keadaan senang dan susah dan mereka menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang, dan Allah amat mencintai orang-orang yang berbuat demikian.” (Surah Ali Imran, ayat 133 –134).

Justeru, orang mukmin sejati bukan saja penyabar, tetapi juga bukan pendendam.  Amalan memaafkan segera kesalahan orang lain membentuk hati yang senang dan tenteram. Tidak timbul rasa keluh resah dan marah yang menyakitkan hati.  Bahkan dirasakan seperti dalam dirinya tidak pernah marah dan tiada orang lain mendatangkan kemarahan kepadanya.

Jika sifat mudah memaafkan diamalkan, insyaalah, kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah terlebih awal memberi keampunan dengan rahmat-Nya. 

Firman Allah bermaksud: “Janganlah sampai bersumpah-sumpah, orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kekayaan di antara kamu, bahawa mereka tidak akan memberi lagi kepada kaum kerabat, orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah. Tetapi hendaklah mereka memberi keampunan dan berlapang dada. Tidakkah kamu mahu jika Allah mahu memberi keampunan kepada kamu sekalian.” (Surah an-Nur, ayat 22).

Sesungguhnya, perasaan marah berterusan biasanya diikuti dengan perasaan buruk sangka. Perasaan itu akan terus mencetuskan sifat buruk lain sehingga menimbulkan fitnah dan bohong. Segala perbuatan itu tercela.

No comments:

Post a Comment