Tuesday 29 December 2020

KEBAIKAN BERKHATAN MENGELAK TERKENA PENYAKIT

Banyak pihak sebelum ini menyatakan bahawa berkhatan berasal dari Islam sedangkan amalan ini sebenarnya sudah wujud sebelum kedatangan Islam di bumi Arab.

Amalan berkhatan ini dikaitkan dengan amalan lazim bagi masyarakat yang bertamadun di benua Afrika zaman dulu kala. Dan lazimnya, amalan berkhatan dikaitkan dengan peralihan daripada zaman kanak-kanak ke zaman dewasa.

Amalan bersunat ini sebenarnya tidak dinyatakan dalam al-Quran tetapi dianggap sebagai tradisi atau Sunah Nabi Muhammad yang amat dituntut. Nabi Muhammad pernah dipetik sebagai bersabda: “Ia (berkhatan) adalah kewajipan bagi lelaki dan kemuliaan bagi wanita” membayangkan amalan ini diterima oleh Islam malah dianggap amat digalakkan.

Dalam satu lagi hadis, nabi menyatakan, bersunat adalah fitrah, bermaksud bahawa ia adalah suatu yang semula jadi. Ramai ulama Islam menegaskan berdasarkan riwayat dan catatan dulu, Nabi Muhammad serta semua nabi dilahirkan dalam keadaan diri mereka sudah disunatkan.

Dalam Islam, amalan bersunat ini dijalankan ke atas kanak-kanak dan golongan dewasa yang baru memeluk agama ini. Berdasarkan riwayat, amalan bersunat dalam Islam ini berasal dari amalan Nabi Ibrahim, nabi yang turut diakui oleh Yahudi.

Sebenarnya telah banyak kajian moden dilakukan memperakui kebaikan berkhatan.

Ketika pelbagai kaedah diutarakan bagi membendung penyakit HIV, hasil kajian seperti dibentangkan penyelidik Amerika Syarikat, Dr Milton Amayun pada Sidang Belia HIV/Aids yang dianjurkan World Vision International mendedahkan sesuatu yang menarik menganai kebaikan berkhatan.

Dalam kertas kerjanya, beliau menyatakan, mengkhatankan anak lelaki boleh mengurangkan risiko jangkitan HIV sebanyak 70 peratus berbanding mereka yang tidak dikhatankan.  

Katanya, amalan ini juga salah satu sebab kurangnya bilangan jangkitan HIV di kalangan lelaki yang mengamalkan berkhatan dari agama tertentu, terutamanya Islam. Menurut Dr Amayun, ujian berkenaan dijalankan di beberapa negara termasuk Afrika Selatan dan Kenya.  

Penyelidik Perancis yang menjalankan kajian di Afrika Selatan dan penyelidik di Kenya yang dibiayai Yayasan Gates menunjukkan dua pertiga lelaki dikhatankan tidak dijangkiti HIV.  

Malah, beliau berkata, keberkesanan ciri pencegahan jangkitan HIV bagi lelaki yang dikhatankan sekuat vaksin yang digunakan. Katanya, kulit luaran zakar lelaki yang tidak dibuang boleh menjadi tempat virus membiak dan merebak.  

Bagi mereka yang sudah dikhatankan, kulit mereka akan menebal lantaran dapat menahan jangkitan virus.

Mengulas lebih lanjut mengenai kajian Yayasan Gates itu, kajian yang dijalankan pakar Perancis dan Afrika itu dijalankan ke atas golongan aktif seks iaitu lelaki berusia di antara 18 hingga 24 tahun.

Separuh daripada 3,000 lelaki itu dipilih secara rawak untuk dikhatankan. Selepas mengikuti rapat perkembangan lelaki itu selama setahun, penyelidik mendapati setiap 10 lelaki kajian itu yang tidak dikhatankan sudah dijangkiti HIV, virus yang menyebabkan Aids.

Kajian itu turut mendapati hanya tiga daripada lelaki yang disunatkan dijangkiti virus berkenaan.  

Kajian ini dianggap penting kerana ahli sains belum lagi menemui pelalian berkesan untuk menentang virus HIV atau membangunkan kaedah terbaik untuk menghalang jangkitan penyakit itu berbanding kaedah seks selamat.

Selain itu banyak lagi kajian sudah dijalankan yang mendapati bahawa lelaki yang tidak dikhatankan menghadapi risiko jauh lebih tinggi menghidap HIV berbanding lelaki yang sudah disunatkan.

Penyelidik mendapati seorang lelaki yang sudah bersunat, lapan kali ganda kurang kemungkinan dijangkiti HIV ketika melakukan hubungan kelamin. Sebuah pasukan penyelidik di Australia turut menjalankan kajian dengan melihat kepada hasil lebih 40 kajian.

Mereka juga mendapati virus HIV menyerang sel khusus dari permukaan dalam kulit di hujung zakar.

Sel ini memiliki penyerap HIV, menjadikan kawasan itu amat terdedah kepada jangkitan. Penyelidik ini menegaskan, amalan bersunat di kalangan lelaki memberi perlindungan penting daripada jangkitan HIV kerana kebanyakan daripada penyerap HIV ini sudah dibuang.

Selain itu, penyelidik juga menyatakan, bersunat turut mengurangkan kemungkinan dijangkiti penyakit kelamin lain seperti syphilis dan gonorrhea, jangkitan yang menjadikan seseorang itu lebih terdedah kepada jangkitan HIV.

Kajian paling dramatik dijalankan baru-baru ini di Uganda yang membabitkan wanita yang didapati menghidap HIV dengan lelaki yang disahkan belum dijangkiti penyakit itu.

Selain itu, penyelidik yang mengumpul data daripada 50,000 kes barah dalam tempoh separuh kurun turut menyatakan, amalan bersunat secara amnya dapat mencegah barah zakar. Daripada 50,000 kes barah, hanya 10 kes membabitkan lelaki yang bersunat. Lelaki terbabit pula hanya bersunat ketika sudah meningkat dewasa. Kajian itu juga mendapati hampir semua yang dijangkiti barah tidak bersunat.

Bagaimanapun, alasan utama untuk bersunat bagi pakar kanak-kanak dan pakar bedah adalah disebabkan balanitis (radang glans) dan phimosis (keadaan sempit pada kulit hujung zakar akibat daripada jangkitan berulang-ulang).

Keadaan yang menyakitkan ini kerap kali berlaku pada lelaki yang tidak berkhatan.

No comments:

Post a Comment