Wednesday 16 December 2020

PUCUK MANGGA ROSAK AKIBAT SERANGGA GUNTING

Menanam pokok memang menyeronokkan dan terapi jiwa apabila mendapat hasil seperti yang diharapkan. Namun, kadangkala ia boleh juga mendatangkan tekanan perasaan dan rasa kecewa apabila pokok yang ditanam dirosakkan seranga dan binatang ternakan. Ada yang sanggup bangun malam untuk mencari serangga perosak yang biasanya aktif pada waktu malam.

Pun begitu, cabaran itulah yang mendatangkan kepuasan berganda apabila masalah dapat diatasi dan pokok membesar dan seterusnya mengeluarkan hasil yang baik.

Salah satu masalah dihadapi penanam mangga atau dalam dialek Kelantan lebih dikenali pauh ialah masalah pucuk atau daun muda yang seakan-akan digunting.

Banyak orang tidak tahu punca berlaku keadaan tersebut akan menyangka ia digunting oleh budak atau orang yang ingin buat khianat.

Punca berlaku keadaan sebenarnya berpunca angkara sejenis kumbang yang dipanggil kumbang gunting atau deporaus marginatus. Ia merupakan sejenis serangga perosak kepada tanaman mangga terutamanya di Malaysia ini.

Antara simptom-simptom yang mampu kita lihat untuk mengetahui bahawa pokok mangga kita sudah diserang serangga ini ialah kelihatan pucuk muda yang baru tumpuh seperti dipotong dan jatuh di bawah. Juga boleh diketahui dengan melihat pucuk-pucuk pokok yang sudah "botak" akibat diserang kumbang ini.

Untuk mengatasi serangan kumbang gunting ialah dengan menyembur racun ketika pucuk muda keluar. Kumbang gunting biasanya menyerang pada waktu malam.

Cara lain untuk mengawal serangan kumbang gunting ialah dengan mengawal pembiakannya. Telur kumbang gunting berada pada bahagian daun yang gugur. Jadi, ambil atau kutip daun yang gugur itu dan dibakar untuk mengelak telur menetas.

No comments:

Post a Comment