Wednesday, 13 November 2024

KAUNSELOR ATM KASARI PENCERAMAH MOTIVASI

 
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan seorang penceramah motivasi membuat laporan polis selepas mendakwa diugut dan dikasari pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada satu program ceramah motivasi di Dewan Tun Templer, Kem Sungai Besi, pada 8 November 2024.
 
Penceramah tersebut Mej Mohamad Qayyum Badaruddin (Bersara) 56, mendakwa beliau telah dilemparkan dengan kata-kata kesat dan dikasari oleh seorang pegawai yang juga kaunselor, dipercayai dari Unit Kaunseling Markas ATM ketika hendak memberi ceramah kepada pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
 
Menurut Qayyum, sesi beliau sepatutnya bermula 4 petang, namun pegawai ini bertindak mengambil lebih masa hingga 4.20 petang. Jadi, beliau telah bertanya bila sesi pegawai tersebut  akan habis, kerana beliau perlu bergegas ke tempat lain.
 
"Pegawai tersebut telah menjawab 'sibuk kau ni, aku tumbuk nanti. Tak puas hati, jom settle luar' (Tak puas hati, jom selesai luar) padahal jawapannya itu tiada kena mengena dengan pertanyaan saya. Dia telah bertindak merangkul leher saya dan mengheret saya ke tepi sambil disaksikan lebih 200 pegawai kadet dan anggota tentera lain," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, pada 12 November 2024.
 
Qayyum berkata pegawai terbabit juga telah mengugut untuk menumbuknya sambil menambah beliau tidak perlu dihormati kerana bukan lagi seorang pegawai tentera.
 
Menurut Qayyum, walaupun beliau bukan lagi pegawai tentera, namun beliau penceramah yang telah dijemput. Justeru, tidak sepatutnya dilayan seperti itu.
 
Sebagai veteran, beliau masih menyumbang bakti untuk menaikkan imej tentera dengan memberi ceramah dan menulis buku berkaitan ketenteraan.
 


Gambar - Bernama

Catatan tambahan - Kes kaunselor ATM dengan penceramah motovasi selesai apabila kedua-dua telah bertemu dan saling memaafkan. Kedua-duanya telah menarik balik laporan polis yang dibuat.

No comments:

Post a Comment