Thursday, 11 June 2020

DAUN BIDARA DICAMPUR AIR MANDIAN JENAZAH

Pokok bidara atau nama saintifiknya Z. mauritiana merupakan pokok yang malar hijau yang tumbuh di selatan Asia. Pokok bidara mampu mencapai ketinggian sehingga 15 meter. Pokoknya tumbuh rendang denan ada duri pada bahagian dahan dan rantingnya.

Buahnya memiliki pelbagai bentuk dan saiz yang berbeza-beza. Ia mungkin berbentuk bujur, obovate, lonjong atau bulat, dan ada yang boleh mencecah sehingga 1-2.5 inci (2.5-6.25 cm) panjang, bergantung kepada jenis.

Isinya putih dan rangup. Apabila mengkal sedikit, buahnya adalah berair dan mempunyai bau yang menyenangkan. Kulit buah bidara adalah licin, berkilat, nipis tetapi padat.

Daun pokok bidara selalu digunakan ketika memandikan jenazah bagi orang Islam. Selepas menghilangkan najis dari tubuh mayat, jenazah akan dimandikan tiga kali. 

Mandian pertama ialah dengan air yang dicampur daun bidara. Penggunaan daun bidara itu bukan merupakan kepercayaan tradisi sebaliknya sunah daripada Rasulullah sendiri.

Daunnya juga disunatkan untuk digunakan ketika mandi wajib bagi wanita yang baru suci daripada haid. Dari Aisyah bahawa Asma bertanya kepada Rasulullah SAW tentang mandi haidh, maka beliau bersabda (maksudnya):

“Salah seorang di antara kalian (wanita) mengambil air dan sidrahnya (daun pohon bidara) kemudian dia bersuci dan membaguskan bersucinya, kemudian dia menuangkan air di atas kepalanya lalu menggosok-gosokkannya dengan kuat sehingga air sampai pada kulit kepalanya, kemudian dia menyiramkan air ke seluruh badannya, lalu mengambil sepotong kain atau kapas yang diberi minyak wangi kasturi, kemudian dia bersuci dengannya. 

"Maka Asma’ berkata: “Bagaimana aku bersuci dengannya?” Beliau bersabda: “Maha Suci Allah” maka ‘Aisyah berkata kepada Asma’: “Engkau mengikuti (mengusap) bekas darah (dengan kain/kapas itu).” (Hadis Riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment