Tuesday, 4 February 2025

BELANJAKAN HARTA SECARA SEDERHANA

 
Islam telah memberi garis panduan kepada umatnya dalam hal berbelanja. Kita disaran agar bersederhana dan tidak boros berbelanja. Sifat yang sedemikian akan dapat membantu kita menjadi hamba Allah yang dekat pada-Nya, seterusnya diberkati.

Bersederhana dan tidak boros adalah satu ketentuan perintah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang apabila mereka membelanjakan harta mereka mereka tidak membazir, dan tidak pula kikir. Dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah yang demikian”. (Surah al-Furwan, ayat 64)

Oleh itu Islam membimbing kepenggunaan umatnya, sikap bersederhana dalam perbelanjaan adalah amalan terbaik yakni, tidak terlalu boros mahupun terlalu kedekut. 
 
Kita disaran untuk bersederhana dan beringat untuk masa hadapan walaupun dalam keadaan kita tengah senang.

Orang yang suka membazir atau boros itu disebutkan oleh Allah SWT sebagai saudara-saudara syaitan.
 
Di dalam Surah Al-Israk:26-27 disebut maksudnya, “Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (harta mu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu ialah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya”.

Namun ini tidak bererti Islam menyuruh umatnya menjadi kedekut sehingga mengira setiap sen pun yang keluar. Islam melarang sifat bakhil serta menjadikannya sebagai satu faktor kerosakan yang besar.
 
Seseorang itu tidak boleh bersikap bakhil terhadap hak-hak yang wajib kepada dirinya atau keluarganya.
 
Sikap sederhana yang dianjurkan Islam tidak bermakna umat Islam tidak digalakkan mengumpul harta atau menjadi kaya. Sebenarnya Islam adalah agama fitrah. Tidak terdapat satu pun prinsip Islam yang menyalahi atau merosakkan fitrah tersebut.
 
Sebaliknya di dalam Islam hanyalah terdapat prinsip yang bersesuaian dengan fitrah, mendidiknya serta menaikkan martabatnya. Antara fitrah yang telah ditentukan ke atas manusia ialah sukakan pemilikan.

Fitrah manusia sukakan kepada harta dan kemewahan. Maka, Islam membenarkan untuk mengumpul harta sebanyak mungkin.
 
Islam tidak mengharamkan kekayaan asalkan ia diperoleh secara usaha yang halal, tidak melibatkan perkara yang haram, tidak menzalimi seseorang dan tidak memakan hak orang lain.

Bagaimanapun Islam membataskan para pemilik harta dalam pengembangan dan pelaburan hanya melalui cara-cara yang dibenarkan oleh syarak; yang tidak bertentangan dengan akhlak dan nilai moral serta kepentingan umum.
 
Ini kerana Islam tidak memisahkan antara ekonomi dan akhlak. Pemilik harta tidaklah sebebas sistem kapitalis. Islam menganggap harta pada hakikatnya sebagai harta Allah SWT dan manusia hanyalah sebagai pemegang amanah.
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berimanlah kamu kepada Allah dan rasul-Nya serta nafkahlah sebahagian dari hartamu yang Allah telah pinjamkan kepadamu”. (Surah al-Hadid, ayat 7)

No comments:

Post a Comment