Konsep iman tidak hanya di mulut. Sebaliknya untuk menyempurnakannya memerlukan kepada perlaksanaan apa yang ditetapkan oleh syariat. Orang beriman mempunyai akidah yang kukuh pasti mentaati segala perintah Allah dengan ikhlas dan sebaik mungkin.
Tidak dinafikan bahawa manusia tidak sunyi
daripada melakukan perkara dosa. Ini tidak pula manusia tidak berpeluang
menubus kembali kesilapan itu. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang memberi
peluang untuk sesiapa yang sedar kesilapan yang telah dilakukan agar
bertaubat.
Taubat ialah penyesalan yang
sungguh-sungguh dan bertekad tidak mengulangi dosa tersebut. Mereka yang
bertaubat menyatakan ikrar akan taat kepada perintah Allah SWT.
Sebaliknya, mereka yang terus hanya
melakukan dosa menyebabkan hidup semakin jauh dari rahmat Allah SWT. Pelaku
dosa tidak patut menyangka bahawa mereka akan terlepas daripada azab Allah di
akhirat nanti, biarpun mungkin mereka terlepas pembalasan di dunia ini.
Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut,
ayat 4 yang bermaksud: "Bahkan patutkan orang yang melakukan kejahatan
menyangka bahawa mereka akan terlepas daripada azab Kami? Amatlah
buruk apa yang mereka hukumkan itu."
Sangkaan bahawa dosa yang dilakukan tidak
memberi apa-apa kesan atau pembalasan sebenarnya tidak munasabah pada akal
waras, jauh sama sekali daripada prinsip keadilan, apatah lagi menepati syariat
Islam yang mana menetapkan setiap perbuatan manusia di dunia ini akan mendapat
pembalasan, biarpun sekecil mana kebaikan atau keburukan yang dilakukan.
Justeru itu, Islam menganjurkan umatnya
sentiasa berpegang teguh pada ajaran agama dengan melaksanakan segala perintah
Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Dengan ini, barulah individu Muslim
mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang bertakwa.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Dengan yang demikian, berpegang teguhlah kamu kepada al-Quran yang
diwahyukan kepada kamu kerana sesungguhnya kamu berada di atas jalan yang
lurus." (Surah al-Zukhruf, ayat 43)
Maka jelas, orang yang beriman tidak ada
pilihan melainkan taat dalam melakukan syariat jika dia ingin kembali di sisi
Allah di akhirat kelam dalam keadaan yang diredai.
Firman Allah SWT bermaksud: “Kembalilah
kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati dengan segala nikmat yang
diberikan, lagi diredai di sisi Tuhanmu.” (Surah al-Fajr, ayat 28).
No comments:
Post a Comment