Tiok jagung dijadikan sayur.
Nama tiok jagung adalah dalam dialek Kelantan. Nama lain
dipanggil ketiak jagung, putik jagung, sodek jagung, podak jagung dan sonak
jagung. badek jagung, jeriat jagung atau mungkin ada nama lain mengikut dialek
daerah masing-masing.
Dalam bahasa Inggeris dipanggil "baby corn". Dalam
bahasa Jawa dipanggil janten. Nama yang paling tepat dalam bahasa Melayu baku
ialah putik jagung.
Dinamakan tiok jagung kerana ada bulu di bahagian atasnya
yang disamakan sebagai bulu ketiak.
Tiok jagung merupakan tongkol jagung yang masih kecil. Belum
ada biji besar. Tongkol pun masih lembut.
Dalam sepokok jagung ada tiga atau empat tiok jagung.
Bagaimanpun, biasanya hanya satu atau dua tongkol sahaja yang membesar dan
menghasilkan tongkol yang besar dan biji jagung yang penuh. Itupun
bergantung proses pendebungan dan pembajaan yang baik.
Untuk menggalakkan tumbesaran tongkol jagung dan biji yang
berkualiti, tiok jagung yang ditinggalkan terus membesar hanya satu atau dua
sahaja. Tiok jagung selebihnya perlu dbuang.
Tiok jagung yang dibuang boleh dimanfaatkan sebagai sayur.
Keadaan tiok jagung yang masih muda dalam keadaan lebut. Jadi ia boleh
dimanfaatkan sebagai sayur.
Tiok jagung yang dibuangkan kulit luar boleh dibuat pelbagai
menu masakan seperti digulai lemak, digoreng ataupun dicelur untuk dijadikan
ulam.
Di pasar kebanyakan tiok jagung dijual dalam keadaan separuh
kulit luar telah dipotong. Yang tinggal hanya pada bahagian tampuk masih ada sedikit
kulit luar yang lembut.
Keseluruhan tiok jagung yang telah dikupas itu boleh dicelur
atau dimasak untuk dimakan, kecuali sedikit di bahagian hujungnya yang keras.


No comments:
Post a Comment