PH tarik sokongan terhadap KM Melaka. Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) mengumumkan
untuk menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Ab Rauf
Yusoh. Penarikan tersebut bermakna kerajaan Melaka bukan lagi berstatus Kerajaan Perpaduan yang menggabungkan Barisan Nasional (BN) dan PH.
Keputusan penarikan sokongan itu diambil selepas usul Rang Undang-Undang
Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan pelantikan
tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan diluluskan pada Persidangan
Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Seri Negeri pada 14
Julai 2026.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong
pada sidang media khas yang turut dihadiri empat ADUN DAP iaitu Allex Seah Shoo
Chin (Kesidang); Kerk Chee Yee (Ayer Keroh); Low Chee Leong (Kota Laksamana)
serta Leng Chau Yen (Banda Hilir).
Turut menyatakan hasrat itu, ADUN Bukit Katil, Adly Zahari
daripada AMANAH, sekali gus menjadikan lima ADUN berkenaan sebagai pembangkang
dalam DUN Melaka.
Susulan pengumuman itu, semua ADUN berkenaan secara rasmi
meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri.
Ia membabitkan Shoo Chin selaku Ahli Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri (EXCO), Chee Yee (Timbalan Speaker DUN) dan Chee Leong serta
Chau Yen (masing-masing Timbalan EXCO).
Poay Tiong berkata, turut akan meletakkan jawatan adalah
semua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dilantik oleh kerajaan
negeri sebelum ini.
Menurutnya lagi, penolakan usul ADUN lantikan berkenaan
kerana PH berpegang kepada prinsip. ADUN lantikan memang bercanggah dengan
prinsip demokrasi pilihan raya kerana ADUN sepatutnya dipilih melalui pilihan
raya dan pemilihannya harus diserahkan kepada pengundi, bukannya melalui
lantikan.
Sekiranya kerajaan negeri ingin mendapat khidmat daripada
profesional atau pakar, mereka boleh lantik golongan itu sebagai penasihat,
bukannya menerusi ADUN lantikan sebab ADUN berkenaan boleh masuk ke Persidangan
DUN dan boleh mengundi. Ini bercanggah dengan prinsip pilihan raya.
Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka, berkata PH
bersetuju dengan khidmat profesional tetapi bukan menerusi ADUN lantikan.
Justeru katanya, memandangkan PH menolak dan tidak menyokong
usul yang dibawa oleh kerajaan negeri itu, sewajarnya ADUN PH keluar daripada
pentadbiran kerajaan negeri serta-merta.
Menurutnya, surat peletakan jawatan sebagai EXCO, Timbalan
EXCO serta Timbalan Speaker oleh semua ADUN DAP akan diserahkan kepada Ketua
Menteri pada 14 Julai 2026.
Untuk rekod, kedudukan ADUN di Melaka ketika ini terdiri
daripada 20 wakil Barisan Nasional (BN), lima PH manakala tiga adalah Perikatan
Nasional (PN).

No comments:
Post a Comment