Friday, 26 June 2026

KENANGAN ZAWAWI BAWA LORI

 
Bila tengok lori Bersama ni, terus terimbau kenangan lama. Kenangan membawa lori penerangan PH Kelantan sebelum PRU14 sambil memikul tugas sebagai Setiausaha Kerja Biro Pilihan Raya AMANAH Kelantan.

Lori ni ambo bawa bergilir-gilir dengan sahabat ambo, Makio Afix Ayob di bawah seliaan Ayie Prope. Yang paling unik, lori ni tak ada handbrake! Sampai sekarang kalau ingat, boleh tergelak sorang-sorang.

Lori inilah yang meredah hampir seluruh kampung dan pelosok negeri Kelantan. Panas, hujan, siang, malam, kami jalan juga. Kadang-kadang sampai ke lokasi ceramah, nasi kena beli sendiri. Minyak lori pula ada masa orang bantu, ada masa tak ada siapa bantu.

Nak elak lori tersadai tepi jalan sebab kehabisan minyak, hampir setiap kali sebelum bergerak ambo akan singgah ke rumah Datuk Jasman di Bunut Payong untuk minta duit minyak dan duit makan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Abe Man dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman.

Banyak kenangan kami bersamanya. Sampai urusan merisik bakal isteri kedua pun Abe Man ajak ambo pergi.

Ramai orang hari ini melihat hasil perjuangan, tetapi tidak melihat pengorbanan di belakang tabir.

Gaji? Memang tak ada gaji.boleh buat kerja kepada parti rasa hebat dah!

Masa mula-mula ditawarkan kerja sepenuh masa di Biro Pilihan Raya pada tahun 2016, pengarah biro beritahu, “Kalau ada duit kita bayar elaun, kalau tak ada kita buat lillahi ta’ala.”

Ambo dengar ayat tu, terus ambo niat wakaf diri untuk perjuangan. Bini tanya ada gaji ke tidak. Ambo jawab ada. Hakikatnya, gaji yang ada cuma kepuasan berjuang dan keyakinan bahawa setiap pengorbanan dinilai Allah. Tapi yakin rezeki Allah . Rezeki datang ketika memerlukan .

Dan ambo bukan seorang. Ramai sahabat seperjuangan melalui mehnah yang sama. Masing-masing berkorban masa, tenaga, duit dan keluarga demi membina sebuah perjuangan yang ketika itu masih bertatih.

Begitu juga ketika diberi amanah sebagai Ketua Penaja Pemuda AMANAH Kubang Kerian.

Ambo tak duduk diam. Dalam kawasan yang ramai orang takut nak aktif politik ketika itu, ambo pergi dari rumah ke rumah mencari anak-anak muda. Akhirnya berjaya menubuhkan Pemuda AMANAH Kubang Kerian.

Lepas tu, sasaran seterusnya ialah menubuhkan sayap pemuda di ketiga-tiga DUN dalam Parlimen Kubang Kerian. Alhamdulillah, semuanya berjaya dilengkapkan.

Hari ini kalau ada yang melihat kekuatan jentera di Kubang Kerian, ketahuilah ia dibina dengan peluh, air mata, pengorbanan dan kesetiaan ramai sahabat yang tidak pernah meminta balasan.

Jasamu, keringatmu, pengorbananmu… hanya Allah mampu membalasnya.

Semua orang ada pengalaman perjuangan masing-masing. Ini bukan soal siapa lebih hebat. Ini cuma sebahagian daripada kisah bagaimana kami menggerakkan sebuah parti yang baru ditubuhkan dari bawah. Pengalaman yang cukup mahal dan cukup indah untuk dikenang.

Sebab itu pesan ambo kepada semua pimpinan dan ahli. Hargailah orang bawah. Kerana tanpa yang di bawah, tidak akan wujud yang di atas. Dan tanpa yang di atas, tidak sempurnalah yang di bawah.

Dengarlah suara akar umbi. Perkukuhkan jentera bawahan. Nak meruntuhkan sebuah organisasi mungkin hanya mengambil masa sehari, tetapi nak membinanya mengambil masa bertahun-tahun.

Kepada sahabat yang kecewa, yang terasa hati atau yang sudah hilang keyakinan, itu lumrah manusia. Kalau mahu berhijrah, silakan. Tukar parti bukan tukar agama.

Tiada siapa yang meletakkan pisau di leher kita untuk menyertai mana-mana parti. Kita datang atas pilihan dan kerelaan sendiri. Maka segala yang telah kita sumbangkan juga adalah atas kerelaan sendiri.

Apa pun yang berlaku, ambo faham bahawa pimpinan datang dan pergi. Ahli juga datang dan pergi.

Tetapi insya-Allah, selagi hayat dikandung badan, walau ribut melanda dan ombak menghempas, ambo tetap akan berdiri di sini bersama AMANAH.

Kerana perjuangan ini bukan tentang siapa memimpin.

Perjuangan ini tentang apa yang kita perjuangkan.

Oleh: Abdullah Zawawi Ibnu Wahab (melalui FB 24 Jun 2026) 


No comments:

Post a Comment