Monday, 1 June 2026

KERAJAAN TIDAK BOLEH LAKUKAN IBADAT KORBAN

 
Ibadat korban adalah amalan sunat yang amat dituntut ke atas setiap peribadi muslim. Dengan kata lain, ia adalah ibadat individu, bukan secara institusi atau kerajaan.

Biarpun pihak institusi atau kerajaan ingin menyediakan lembu atau binatang korban, ada kaedah yang perlu dipatuhi agar ia dianggap sebagai ibadat korban.

Perkara pertama perlu dilakukan ialah pindah pemilikan haiwan korban itu. Contohnya pihak kerajaan yang menjadi pemilik haiwan tersebut melalui pegawai atau individu yang diamanahkan menguruskan haiwan itu perlu menyerahkan pemilikan kepada individu tentu sebagai pemilik haiwan itu secara seekor atau sebahagian (daripada tujuh bahagian lembu).

Jika pemilikan haiwan itu diserahkan kepada pihak masjid atau badan lain, maka pihak yang menerima itu perlu pula menyerahkan kepada individu yang tertentu.

Individu yang menjadi menerima pemilikan baharu ini kemudiannya berniat untuk bahagian yang diserahkan hak milik itu dijadikan korban.

Ini penting dilakukan kerana kerajaan, institusi, masjid dan sebagainya tidak boleh berniat untuk melakukan ibadat korban.

Perkara ini perlu difahami dan diamalkan secara betul kerana seperti sudah menjadi amalan apabila pihak kerajaan, institusi dan sebagainya dilaporkan menyumbangkan haiwan korban kepada institusi, masjid dan badan bukan kerajaan untuk dijadikan korban.

Apabila amalan itu diterima normalisasinya oleh masyarakat tanpa memahami kesan sah atau tidak korban yang dilakukan itu, maka ia akan menjadi tradisi yang tidak memenuhi konsep ibadat sebenar.

 

No comments:

Post a Comment