Wednesday, 12 July 2023

Pengundi luar Pas tidak perlu balik PRN Kelantan

 
Di kalangan penyokong Pas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan pada 12 Ogos ini begitu yakin mereka akan menang 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Ungkapan 45 – 0 menjadi laungan dan tulisan penyokong Pas di mana-mana.
 
Keyakinan itu berdasarkan kepada kemenangan 14 kerusi Parlimen di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
 
Mengharapkan dan menjangkan sesuatu tidak salah. Ia diharuskan oleh hukum syarak. Yang menjadi persoalan ialah apabila ia dilakukan dengan angkuh dan sombong. Memperkecilkan kebolehan lawan. Sombong itu sikap syaitan.
 
Ingatlah, sikap sombong boleh memakan diri.
 
Ada satu kisah yang memberi pengajaran kepada kita agar tidak begitu yakin dengan sesuatu pada masa haapan.
 
Kisahnya, beberapa penduduk Mekah datang kepada Nabi Muhammad SAW bertanya tentang roh, kisah Ashabul Kahfi dan kisah Zulkarnain. Nabi menjawab, "Datanglah esok pagi kepadaku agar aku ceritakan."
 
Keesokan harinya wahyu tidak datang menemui Nabi, sehingga Nabi gagal menjawab hal-hal yang ditanyakan. Tentu saja "kegagalan" ini menjadi cemuhan kaum kafir.
 
Lalu turunlah ayat menegur sikap Nabi yang bermaksud: "Dan janganlah kamu mengatakan terhadap sesuatu: "Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok pagi, kecuali (dengan menyebut): "Insya-Allah". Dan ingatlah kepada Tuhan-Mu jika kamu lupa dan katakanlah "Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini." (Surah Al-Kahfi, ayat 24)
 
Dari kisah di atas kita tahu bahkan Nabi pun mendapat teguran ketika alpa mengucapkan Insya-Allah. 

Beginilah kita harus memahami makna ungkapan Insya-Allah; ia menegaskan kesedaran manusia akan keterbatasannya, perasaan rendah hati seseorang yang hendak berbuat sesuatu mengetahui bahawa di atas semua yang ia lakukan dan katakan, Tuhanlah yang memiliki kekuasaan untuk mewujudkannya.
 
Namun begitu, ada sebagian di antara kita sering melupakan peranan dan kekuasaan Allah ketika hendak berencana atau mengerjakan sesuatu.
 
Memandangkan penyokong Pas begitu yakin mendapat kemenangan 45 – 0, pengundi luar tidak perlu balik mengundi di Kelantan pada PRN nanti. Kalau balikpun tidak memberi apa-apa kesan. Pas sudah menang.
 

No comments:

Post a Comment