Saturday 7 March 2020

PERTAHAN HAK BANGSA BUKAN SIKAP ASABIYAH

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa saja yang menyeru kepada asabiyah (fanatisme golongan, seperti nasionalisme) maka dia tidak termasuk golongan kita (kaum muslimin)” -  (Hadis riwayat Abu Daud)

Hakikat sebenar maksud hadis itu ialah memperjuangkan bangsa sehingga menolak kehadiran bangsa lain, terlalu angkuh dan menganggap bangsa lain sebagai hina. Sikap tersebut diamalkan Arab Jahiliyah yang mana mereka sanggup berperang demi bangsa atas sebab perkara yang kecil.

Sedangkan konsep UMNO memperjuangan Melayu atas dasar mempertahan hak, mengelak ditindas dan mendapat keadilan agar perkongsian kuasa dan kekayaan negara dinikmati secara adil di antara semua kaum di Malaysia.

Apa yang diperjuangkan itu sebenarnya termasuk perkara yang disuruh oleh Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Cintakan bangsa (tanah air) itu sebahagian dari iman.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tanah Melayu ini asalnya milik Melayu sepenuhnya. Namun, tindakan penjajah telah membawa kaum lain tinggal di sini. Apabila negara mencapai kemerdekaan, kaum lain diterima sebagai warganegara.

Perjuangan UMNO mempertahankan Melayu adalah sebahagian usaha mempertahankan tanah air agar tidak dirampas sepenuhnya oleh kaum lain. Sebaliknya, apa yang diingini adalah berkongsi dengan kaum lain sebagai warganegara Malaysia.

Konsep perjuangan UMNO tidak boleh dikategori sebagai asabiayah, sebaliknya lebih sesuai dikatakan perjuangan cintakan tanah air. Malah perjuangan mempertahankan Melayu termasuk dalam soal memperjuangan Islam. 

Hal ini jelas menepati Perkara 160 yang mendifinisikan 'Melayu' sebagai seorang yang menganuti agama Islam, bercakap Bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu.

Maka  dalam konteks Perlembagaan Malaysia, jika memperjuangkan Melayu, bermakna memperjuangkan Islam. Seorang Melayu yang meninggalkan Islam, bermakna dia tidak lagi dianggap sebagai Melayu. 

Dengan kata lain, perjuangan UMNO atas dasar Melayu juga bermaksud untuk Islam.  Tambahan pula, UMNO memang meletakkan memperjuangkan Islam dalam Perlembagaan parti. Di bawah Perkara 3.2, perlembagaan UMNO menyebut ia bertanggungjawab menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan beragama.

Allah SWT mengingatkan agar orang Islam tidak menuruti perangai bukan Islam yang sentiasa berselisih faham. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah kamu menjadi seperti mereka (orang Yahudi dan Nasrani) yang bercerai berai dan berselisih faham sesudah datangnya keterangan yang jelas dan nyata (yang diberikan Allah).” (Surah Ali-Imran, ayat 105)

Pemimpin perlu bersifat amanah, jujur, tawaduk dan jati diri yang kental untuk mempertahankan bangsa dan agama. Jangan kerana mengejar pangkat dan kuasa, prinsip perjuang asal dikorbankan. 

Konsep matlamat menghalalkan cara tidak sesuai diamalkan bagi mempertahan agama dan bangsa. Sikap itu bukan saja membahayakan agama dan bangsa, bahkah kepada individu itu sendiri. Lambat laun rakyat mengetahui agenda sebenar kelompok perjuangan permimpin yang sanggup melakukan apa saja demi mencapai matlamat untuk berkuasa. 

Hari ini pemimpin Islam perlu meyakinkan rakyat tentang kebijaksanaan dan ketokohan diri. Rakyat majmuk di negara kita bersedia menerima kepimpinan sesiapa saja asalkan dapat mentadbir negara dengan baik. 

Sebab itu, amat penting pemimpin Islam tonjolkan ketokohan, kebijaksanaan, sikap keterbukaan dan keperibadian yang mulia.   

Jika seseorang pemimpin sering bermuhasabah diri dan mempunyai jati diri yang kental, beliau akan akur kepada kelemahan diri. Sikap tawaduk dan akur kepada kelemahan diri perlu dijadikan sebagai amalan pemimpin Melayu yang beriman demi memelihara keutuhan agama dan bangsa.  

No comments:

Post a Comment