Monday, 28 September 2026

BERI RUANG LEBIH LUAS DALAM MINDA

Beri ruang lebih luas dalam minda. Kita perlu bersedia memberi ruang lebih luas dalam minda kita mengenai pendapat orang lain. Tindakan itu memberi kita kematangan berfikir.
 
Kita akan lebih mempunyai pilihan dalam membuat keputusan. Itu dinamakan pemikiran terbuka dan mengelak perkara jumud. Perasaan menjadi lebih tenang dan mampu berfikir dengan lebih bijak.
 
Sikap hanya menganggap pendapat diri sahaja yang betul tidak patut diamalkan. Itu satu sikap ego dan tidak mahu menerima pandangan orang lain. Hati menjadi tertekan jika terpaksa menerima pandangan orang lain.
 
Pendapat dan perbuatan orang lain semuanya dianggap salah dan tidak menepati kehendak. Inilah punca berlaku krisis dalam hubungan dan pengurusan.
 
Konflik dan krisis dalam pengurusan organisasi merupakan keadaan yang menyebabkan pertembungan kehendak, matlamat, konsep dan cara-cara untuk mengurus serta membawa organisasi ke hadapan.
 
Untuk mengatasi konflik itu perlu kepada keterbukaan minda. Buangkan sikap prejudis dan berasa hanya diri sendiri betul. Raikan pendapat orang lain dengan minda terbuka. Pertimbangkan dan buat keputusan dengan bijaksana.
 
Konflik, dalam maksud yang mudah dapat dihurai sebagai perbezaan pendapat antara dua pihak yang membawa kepada percanggahan. Konflik tidak pernah diselesaikan apabila keputusan yang terhasil tidak mewakili kepentingan pihak-pihak yang terlibat.  
 
Konflik sebenarnya berlaku dalam kehidupan manusia sama ada dalam institusi formal atau tidak formal.
 
Apabila berlaku pertentangan yang tidak ada kata kesepakatan, hingga menimbulkan konflik kontroversi antara pihak yang terlibat dalam organisasi, maka bermula kisah baru iaitu timbulnya krisis yang tidak dipertimbangkan dengan wajar malahan lebih bersifat emosional.
 
Maka itu, untuk mengelak konflik berterusan sehingga dikuasai emosi tidak stabil, amalkan sikap tanpa prejudis dalam berkomunikasi. Sikap tanpa prejudis akan memberi kelegaan berfikir dan mencambahkan kematangan.

No comments:

Post a Comment