Sunday, 26 November 2017

MENGAPA BN GAGAL


BN gagal mendapat sokongan majoriti dua pertiga di parlimen pada PRU Ke 13. Apakah punca kegagalan itu?

Pertama, mereka sebut soal kepimpinan, mereka menyalahkan Perdana Menteri yang juga Presiden parti dan Pengerusi BN.  Mereka juga mengaitkan dengan apa yang sering disebut tsunami Cina. Mungkin ia tidak betul atau persepsi tetapi dalam pilihan raya dan politik, persepsi itu penting.

BN sudah bangunkan negara selama sejak merdeka. Bawa banyak pembangunan dan nikmat. Tetapi kenapa rakyat tolak BN? Itulah yang harus difikirkan. Apakah mungkin ada beberapa perubahan besar dari segi pemikiran rakyat iaitu generasi selepas merdeka dan generasi baru yang umumnya dikatakan tidak menyokong BN?

Ada rakyat yang mengatakan kepimpinan BN tidak menyerlah, lemah dan tidak berupaya menangani keadaan semasa. Ada yang sebut soal-soal berkaitan ketelusan, hak kebebasan dan nilai-nilai baru yang mungkin kita tidak sedari mulai menyerap dalam pemikiran generasi baru. Kita masih berfikiran lama. Orang sudah berubah, kita tidak berubah.

Oleh itu, mereka lebih kritikal terhadap apa yang kita lakukan. Bagi sesetengah pengundi, mereka tidak lihat pembangunan sebagai keutamaan. Mereka lihat aspek-aspek lain seperti harga barang, sistem kehakiman, kebebasan bersuara, soal mengongkong yang dilakukan oleh kepimpinan kerajaan dan macam-macam lagi.

Maknanya, kalau BN hendak menarik perhatian pengundi, parti itu perlu melakukan perubahan?

Ketika ini orang bercakap soal kepimpinan sama ada kepimpinan Perdana Menteri mahupun komponen BN sehingga memungkinkan mereka menolak UMNO, MCA, MIC dan Gerakan di beberapa peringkat. Apakah perlu satu perubahan? Di banyak negara bila ada pilihan raya tema paling popular ialah change dan dalam pilihan raya lalu pihak pembangkang menggunakan tema perubahan.

BN perlu menilai apakah perlu ada perubahan. Itu persoalan yang cukup kritikal yang perlu ditimbang semasak-masaknya. Ada orang kata BN perlu merombak semula parti untuk menyesuaikan dengan situasi pemikiran dan keadaan semasa. Ini memerlukan satu rombakan dari segi pemikiran dan minda bagi membolehkan UMNO terus relevan.

Contohnya, orang kata parti-parti komponen bersama BN kalah kerana mereka terlalu didominasikan oleh UMNO. UMNO menjadi teras kerajaan dan banyak polisi hanya melibatkan kepentingan orang UMNO dan Melayu sahaja.

Untuk memperkuatkan BN, UMNO tidak boleh bersendirian dalam situasi yang sudah berubah ini. Sokongan masyarakat bukan Melayu amat diperlukan. Jadi ini memerlukan rombakan dari segi pengurusan dalam BN.

Dominasi politik Melayu menerusi UMNO yang dulunya agak sukar ditandingi dan dianggap sudah berlaku sekian lama sejak merdeka seolah-olah sudah menjadi mitos. Oleh itu, kita fikir tidak boleh kalah, tetapi hari ini ramai pemimpin UMNO yang berada di negeri-negeri yang ditawan pembangkang, tidak menyangka akan kehilangan kuasa.

Jadi, ini akan menjadi satu kebangkitan dan kesedaran baru di kalangan orang Melayu bagaimana rapuhnya kuasa politik Melayu. Selain itu, jika suatu ketika dahulu masyarakat Cina menyatakan mereka hanya kelompok minoriti dan tidak akan menjadi kuasa penentu biarpun bergabung dengan masyarakat India, tetapi kali ini keadaan sudah berubah.

Mereka melihat melalui kuasa undi yang dimiliki dan jika mempunyai tekad yang sama kedua-dua kaum itu boleh menumbangkan kerajaan. Bagi orang Cina atau bukan Melayu mereka melihat boleh menjadi kuasa baru penentu arah tuju politik negara pada masa akan datang. Ini tidak berlaku sebelum ini.

Sebab itu, ini adalah pengajaran yang amat getir dan tidak boleh dipandang ringan.

Orang bertanya sejauh mana UMNO boleh bertahan dalam menghadapi gelombang pemikiran politik baru di Malaysia dan lebih penting sejauh mana kuasa politik Melayu boleh bertahan dalam tempoh yang mendatang ini. Bolehkah UMNO survive?

Pemikiran minda orang Melayu perlu dikejutkan supaya berfikir dalam apa yang dipanggil 'zon amat bahaya'. Mungkin ramai yang tidak sedar perkara ini.  

No comments:

Post a Comment